Marilah Belajar Tatabahasa (II)
Soalan-soalan yang berikut ialah pertanyaan saya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini. Marilah belajar tatabahasa bersama-sama! Sila rujuk sini untuk soalan-soalan yang lama.
Soalan :
“Beliau menanyai / menanya / menanyakan sebab Qu Yuan tidak mengisahkan kejelitaan bunga laurel dalam syairnya.”
Apakah kata kerja yang sesuai bagi ayat di atas?
Jawapan :
Ayat yang betul ialah “Beliau menanyakan sebab Qu Yuan tidak mengisahkan kejelitaan bunga laurel dalam syairnya.”
Soalan :
“Keadaan tidak banyak berubah pada dinasti Song Selatan kerana maharaja dan pembesar-pembesarnya tidak mempelajari / belajar daripada pengalaman dinasti Song Utara...”
Apakah kata kerja yang sesuai bagi ayat di atas?
Jawapan :
Ayat yang betul ialah “Keadaan tidak banyak berubah dalam dinasti Song Selatan kerana maharaja dan pembesar-pembesarnya tidak belajar daripada pengalaman dinasti Song Utara...” Kata kerja yang sesuai bagi ayat di atas ialah “tidak belajar”. Kata sendi nama “pada dinasti Song” tidak sesuai digunakan dan perlu digantikan dengan kata sendi nama “dalam dinasti Song” kerana “pada” hanya merujuk masa dan tempat.
Soalan :
“Penggambarannya sedemikian juga dipuji-puji oleh Pan Youlong dari dinasti Ming.”
Bolehkah kata sendi “dari” digunakan dalam konteks ini?
Jawapan :
Jawapan yang betul ialah “Pengembaraannya sedemikian juga dipuji-puji oleh Pan Youlong daripada Dinasti Ming.”
Soalan :
Apakah kata sendi yang sesuai bagi ayat di bawah?
“Keriangan Li Qingzhao pada masa kanak-kanak dilanjutkan hingga / ke zaman remaja.”
Jawapan :
Jawapan yang betul ialah “...ke zaman remaja.”
Soalan :
“Makanan penduduk di sebelah utara banyak bergantung pada / kepada penduduk di sebelah selatan.”
Apakah kata sendi yang sesuai dan bolehkah “sebelah” digunakan dalam konteks ayat di atas?
Jawapan :
Kata sendi nama yang sesuai bagi ayat tersebut ialah “daripada” kerana sesuai dengan kata kerja “bergantung”. Dalam konteks Malaysia penggunaan yang tepat ialah “penduduk di utara semenanjung”.
Soalan :
“Su Shi dan Liu Yong ialah / adalah antara penulis-penulis puisi lirik yang terkenal pada dinasti Song Utara.”
Apakah kata pemeri yang sesuai bagi ayat di atas?
Jawapan :
Ayat yang betul ialah “Su Shi dan Liu Yong adalah antara penulis lirik puisi yang terkenal dalam dinasti Song Utara.” Kata pemeri yang sesuai bagi ayat di atas ialah “adalah” kerana kata yang hadir selepasnya ialah frasa sendi nama. Sementara itu, “antara penulis-penulis puisi lirik” dalam ayat tersebut seharusnya ditukarkan kepada “antara penulis lirik puisi”.

No comments:
Post a Comment