Wednesday, 21 March 2007

Marilah Belajar Tatabahasa (I)

Soalan-soalan yang berikut ialah pertanyaan saya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Marilah belajar tatabahasa bersama-sama dengan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Soalan :
“Kesunyian beliau pada zaman tua bukan sahaja berpunca daripada / dari hidup berseorangan, tetapi juga...”
Apakah kata sendi yang sesuai dalam konteks ini?
Terima kasih.
Jawapan :
Kata sendi yang betul ialah “daripada”.

Soalan :
“Kajian yang dijalankan oleh Huat lebih berkecenderungan kepada / pada penulisan biografi Li Bai.”
Apakah kata sendi yang sesuai selepas “berkecenderungan” dalam konteks ini?
Jawapan :
Dalam contoh ayat di atas, kata sendi bagi berkecenderungan lebih sesuai digunakan “pada”.

Soalan :
“Persoalan-persoalan yang seterusnya difokuskan kepada / ke / pada kehidupan Li sebagai seorang sastera wati tua.”
Apakah kata sendi nama yang sesuai untuk ayat di atas?
Jawapan :
Kata sendi nama yang sesuai digunakan bagi ayat di atas ialah “pada”.

Soalan :
“Peninjauan terhadap / tentang / mengenai hubungan Ali dengan Ismail membolehkan...”
Apakah kata sendi yang betul untuk ayat di atas?
Apakah perbezaan antara “terhadap”, “tentang”, dan “mengenai”?
Jawapan :
Kesemua kata tersebut adalah kata sendi nama. Bagi contoh ayat di atas, kata sendi nama yang betul ialah “tentang” dan “mengenai”, sebagai unsur yang membawa maksud rujukan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan hlm.264 untuk keterangan lebih lanjut.

Soalan :
Saya berasa ragu-ragu tentang penggunaan kata sendi di ayat ini.
“Kajian ini ditumpukan / ditumpu kepada / pada / dalam perubahan perasaan Ahmad.”
Jawapan :
Kajian ini ditumpukan pada perubahan perasaan Ahmad.

Soalan :
Apakan kata sendi yang sesuai di dalam ayat ini?
“Status Fatimah bertukar dari / daripada golongan bangsawan ke / kepada / hingga seorang wanita yang kehilangan kampung halaman.”
Jawapan :
Status Fatimah bertukar daripada golongan bangsawan kepada seorang wanita yang kehilangan kampung halaman.

Soalan :
Sekiranya “melalui” digunakan sebagai kata sendi dalam tajuk esei, adakah ia harus dimulakan dengan huruf besar? Contohnya, “Penelitian Pengalaman Percintaan Sepanjang Hayat Li Qingzhao Melalui / melalui Karya-karyanya”.
Terima kasih.
Jawapan :
Perkataan “melalui” sebagai kata sendi hendaklah ditulis dengan awalan huruf kecil. Ini bermakna bagi contoh ayat di atas awalan melalui ditulis dengan huruf kecil.

Soalan :
“Negara A menukar / menukarkan / bertukar nama negara menjadi / kepada Negara B.” Apakah kata kerja dan kata sendi nama yang sesuai bagi ayat di atas?
Terima kasih.
Jawapan :
Ayat yang betul ialah “Negara A menukarkan namanya kepada Negara B” atau “Negara A bertukar nama menjadi Negara B.” Kata kerja yang sesuai bagi ayat pertama ialah menukarkan manakala ayat kedua ialah bertukar nama. Kata sendi nama yang sesuai bagi ayat pertama ialah kepada.

No comments: